“Yang Terakhir Sebelum Saya ‘Pergi’..” – Elyana

Loading...

Filem Dukun mengambil masa selama 12 tahun sebelum dibenarkan untuk ditayangkan, kerana dikatakan terlalu sensitif bagi ahli keluarga Mona Fandey, yang disabitkan bersalah kerana bersubahat dengan kes pembunuhan kejam pada tahun 1993.

Penyanyi Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal merupakan salah seorang pelakon yang turut menjayakan filem.

Melalui laporan Harian Metro, Elyana meluahkan rasanya dan berharap agar lakonannya dalam filem Dukun ini akan menjadi peninggalan berharga buat semua ahli keluarga, teman-teman serta peminatnya kelak.

Elyana, yang disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat berkata, apa sahaja yang dilakukannya sekarang dianggap sebagai karya terakhirnya.

“Apabila filem ini ditayangkan, saya anggap ini adalah karya terakhir dalam bidang lakonan,” ujar Elyana yang turut mengakui berehat daripada aktiviti lakonan setelah disahkan menghidap kanser.

Tambahnya lagi, walaupun filem tersebut mengambil masa selama 12 tahun untuk ditayangkan, tetapi dia tetap menganggap ianya sebagai rezeki dan buah tangan sebagai pengubat rindu peminatnya apabila dia sudah meninggalkan dunia nanti.

Elyana yang memegang watak sebagai Nadia menyatakan betapa filem tersebut bermakna baginya walaupun tidak banyak babak yang melibatkannya. Lebih menarik, dia baru berusia 18 tahun ketika terbabit dalam filem tersebut.

Dalam pada itu, Elyana turut mengakui yang setiap hasil lakonan dan nyanyiannya akan mengingatkan dia kepada ibunya kerana ibunyalah yang menjadi tulang belakang sepanjang karier seninya

Loading...